Ahad, 8 Ogos 2010

REFLEKSI BERTUNANG…
KITA semua akur dengan selera dan kehendak naluri insan terhadap pasangan idaman. Kita sedar bahawa sifat pasangan idaman. Kita sedar bahawa sifat pasangan yang dianjurkan Islam merupakan satu bentuk ilmu dalam pencarian yang lazim diketahui umum. Bahkan lelaki yang jahat sekalipun biasanya berharap untuk mendapatkan isteri solehah. Namun hakikatnya pertimbangan akhlak mulia disarankan agama biasanya tewas apabila ukuran fizikal telah mengelabui mata. Lelaki kebiasaannya akan memilih wanita yang cantik walaupun lidahnya menuturkan keinginan mendapatkan isteri solehah.
Solehah seorang wanita sering kali tewas bila wajah tidak semanis budi. Itu hakikatnya nafsu lelaki. Walau apapun, tergerak juga hati anda sudah sampai untuk melabuhkan tirai bujang. Sebetulnya anda berhak perolehi satu pujian selepas melihat kondisi dan beberapa faktor yang memungkin anda berbuat sedemikian. Tahniah!
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Apabila datang kepadamu seorang lelaki, (datang) untuk meminang yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya. Maka nikahkanlah dia. Bila engkau lakukan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi”
(Hadis Riwayat Tarmizi dan Ahmad)


DEFINISI PERTUNANGAN…
Pertunangan merupakan sebuah ikatan sementara sebelum berlansungnya akad nikah, namun sering kali disalah anggap oleh masyarakat sekarang, khususnya muda-mudi. Seolah-olah simpulan ini menjadi lesen besar untuk melakukan maksiat, dengan alasan kami sudah bertunang. Justeru, sangat perlu kepada semua pasangan yang ingin atau sudah bertunang mengetahui hak dan batas-batas sempadan syariat sebelum sebuah ikatan yang hak dan yang benar-benar terpatri.
Islam telah mensyariatkan pertunangan sebagai langkah dan wasilah sebelum melansungkan perkahwinan. Pertunangan memberi banyak faedah dan membantu dalam menjamin keutuhan rumahtangga yang bakal dibina. Namun roh sebenar sebuah ikatan ini merupakan subjektif yang memerlukan kefahaman yang jitu, dan harus dijaga agar kesuciannya tidak dinodai.
Pertunangan merupakan satu langkah bagi seseorang lelaki menyampaikan keinginan hatinay mengahwini seorang perempuan yang disukainya sama ada langsung kepada perempuan tersebut atau kepada walinya. Ianya boleh dilakukan secara langsung oleh lelaki yang hendak berkahwin atau melalui wakilnya. Sekiranya hasrat hati lelaki itu diterima oleh perempuan berkenaan maka mereka menjadi pasangan tunang. Bermula dengan penerimaan wanita yang berkenaan sehinggalah masa Ijab dan Qabul inilah yang dinamakan sebagai tempoh pertunangan.
Sebelum lelaki meminang seseorang perempuan, penting untuk dia merisik dan menyelidik latarbelakang perempuan yang ingin dipinangnya terlebih dahulu serta yakin dengan pilihannya setelah melakukan istikharah dan sebagainya. Yakin dengan pilihan pasangan ini sangat penting untuk mengelakkan pinangan yang dibuat ditarik balik. Ini kerana tindakan seperti ini akan menyakiti hati wanita, melukai perasaannya dan mungkin menjatuhkan kehormatannya. Tindakan seperti ini tidak dibenarkan oleh agama dan bersalahan dengan nilai-nilai murni dalam masyarakat Islam.
Namun jika sepanjang tempoh pertunangan tersebut bertaut, mungkin kekurangan yang dirasakan oleh pihak lelaki, maklumlah pertunangan ini juga boleh dianggap fasa untuk berkenalan dengan lebih dekat bakal pasangan sebelum betul-betul matang dan masak untuk mendirikan masjid. Bukan menolak pinangan, maksud penulis memutuskan talian pertunangan, iaitu ketika sedang bertunang. Jika berlaku juga, maka hendaklah daripada pihak sebelah lelaki menyembunyikan kekurangan mahupun kelemahan bekas tunangnya itu, bagi mengelakkan rasa aib pada diri dan ahli keluarganya.
Bagi pasangan yang bertunang mereka juga perlu menjaga batas dan larangan sepanjang bertunang kerana mereka masih lagi bukan mahram cuma ada ikatan dan janji setia mahu hidup bersama. Kononnya, kata orang-orang dulu: ‘Mahu hidup semati’. Mungkin sudah ada dalam senyap-senyap di kalangan para pembaca dari kalangan pelajar-pelajar IPT yang merancang untuk melangsungkan pertunangan. ‘Matair’ di tanah air, diri pula di perantauan. Rasa macam tak boleh tahan, bimbang si dia dikebas lelaki lain. Tidak pasal-pasal mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur pula asyik mimpi si dia sahaja, dan baca pun tak masuk. Rasa marah kadang-kadang pun ada. Sudah nasib badan.
“Boleh ke bertunang masa belajar?”
“Nanti bila dah bertunang, lepas tu masing-masing ada komitmen dengan pengajian masing-masing sehingga berlanjutan sampai bertahun-tahun. Lama tu, kan makruh!”
Kalau nak mudah jawab, boleh sahaja penulis katakan:
“Tu....! Tengok je orang kahwin ketika masih belajar, tiak ada apa-apa pun. Inikan pula bertunang. Bertunanglah, kalau nak sangat”.
“Itukan sunnah juga. Kenapa nak takut sangat”.
Mungkin anda pun boleh meneka juga jawapan seperti di atas, sudah maklum katakan. Tapi mungkin juga ada betulnya, dari sisi yang lain akan timbul kesan-kesan yang tidak baik. Namun penulis menganggap ianya salah satu bentuk ujian, kenalah tabah dan sabar hadapinya. Penulis rasa tidak ada masalah, jika tempoh masa pertunangan tersebut lama. Lama dalam erti kata lain kerana terkesan sibuk dengan tugasan, seperti pengajian dan sebagainya. Sebagai contoh; kalau bertunang dua tahun, seorang sibuk kerja dengan pelbagai aktiviti, manakala seorang lagi sibuk dengan pengajian di bidang perubatan umpamanya. Rasanya dua tahun tu sekejap sahaja, terutama untuk lelaki yang bertanggungjawab nak buat persiapan macam-macam.
Tapi kalau bertunang sampai enam bulan, kerja satu pejabat, duduk ditempat semacam cubicle mengadap antara satu sama lain. Hari-hari pula tu jumpa sehingga rambut tidak pula disikat pun boleh perasan enam bulan tu panjang dan lagi berisiko. Menolak tafsiran tekstual dan robotik. Namun di sana, anda kenalah sahut cabarannya juga. Kenapa? Bagi saya, ramai yang mengatakan mereka cuba menjaga tetapi terperangkap dalam masalah hati, iaitu zina hati yang Islamik romantik. Berbaur Islam, tetapi membawa kepada masalah penyakit hati yang parah dan kronik. Pandai-pandai jaga.

MATLAMAT JADI SANDARAN…
Konsep pertunangan yang semakin terasing dari kehidupan masyarakat kita sekarang. Pada pendapat penulis, kawalan diri kita paling utama. Kuat sesesorang bergantung kepada keimanannya. Di sinilah, iman ditugaskan menjadi sebagai alat kawalan jauh yang efektif. Pandai-pandai kawal, bukan dengan nafsu tapi iman.
Sebaiknya kita kena tetapkan hati, pendirian dan bersederhana. Insya-Allah, kalau kedua-dua belah pihak memahami tujuan sebenar perkahwinan, mengikut saluran yang sebenarnya, mengambil jalan sederhana dan wara’ dalam menjaga batasan, insya-Allah semuanya baik dan tenang sahaja. Meyerahkan urusan kepada kedua ibu bapa juga membantu melancarkan proses secara keseluruhan. Mungkin bagi sesetengah individu, banyak cabaran semasa bertunang, sesetengah yang lain biasa-biasa sahaja. Semuanya sesuai dengan apa yang Allah Taala berikan. Yang baik disyukuri, dan yang kurang diredhai. Baru betul!
Berhubung antara pasangan tunang perlu juga diperhatikan, melainkan keperluan tentang perancangan yang penting. Sebaiknya dielakkan telefon kecuali bagi yang benar-benar mantap dan boleh menjaga hati serta tiada jalan lain untuk berbincang hingga ke rumah, itupun dengan ibu bapa atau orang tengah. Fokuskan juga pada perancangan perkahwinan. Sebab ramai yang asyik mabuk di alam pertunangan, namun terlupa hendak mempersiapkan diri untuk alam rumahtangga yang lebih penting lagi.
Usah difikirkan banyak tentang hal ini, nanti lain pula jadinya. Jangan dilayan perasaan semasa bertunang. Fokuskan kepada kehidupan yang sedang dijalani dan diperjudikan sekarang. Berhubung, minimakan seminimanya. Insya-Allah, tiada resah gulana, dan tiada masalah. Bertunang adalah satu wasilah. Cinta bukan segala-galanya. Namun segalanya yang dimulakan niat yang ikhlas, cara yang betul dan barakah akan menimbulkan dan memutikkan cinta yang sewajarnya selepas perkahwinan.
Kita kena dan perlu ingat! Layakkah kita mencari dan bertemu jodoh yang dapat dibimbing dan membimbing? Tapi, memang itu harapan anda dan kita semua. Selain mendapat pasangan yang mampu dibimbing dan membimbing kita, restu ibu bapa amatlah penting dalam membina masjid. Tidak perlulah kita membelakangi mereka hanya kerana cinta. Cinta yang entah ‘suci dalam debu’ atau ‘suci dalam asap’.
Berhubungan semasa di alam pertunangan bukan tiket bagi kita untuk bergerak bebas dengan tunang. Ingat! Sekarang ornag ber-couple pun sudah berlagak seperti suami isteri dan lupa dunia. Tanyakan diri anda (kita), ke manakah kewarasan kita dalam membuat pertimbangan? Semoga Allah Taala masih memberi ruang waktu untuk bertaubat di hamparan keheningan malam dengan penuh kehinaan. Pohonlah keampunan dari-Nya.
Allah Taala berfirman dalam mafhumnya berbunyi; “Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran”
-al-Baqarah (2:186)-


SEDIA BERUMAHTANGGA…
Deruan ombak sentiasa memukul pantai. Bukan dinamakan manusia, andai tidak pernah dilanda badai masalah dalam hidup. Risiko ada di mana-mana. Segala tindakan dan perbuatan pasti mempunyai risiko. Begitu juga dengan mengambil keputusan untuk berkahwin. Perkahwinan akan membuka topeng masing-masing. Jika sudah memutuskan untuk berkahwin, beerti kita harus sedia menerima risiko paling buruk tentang sikap pasangan. Berkahwin adalah beerti meninggalkan zaman bujang, atau hidup bebas bersendirian.
Di dunia ini tidak ada yang abadi. Berkahwin merupakan cara untuk menyatukan dua hati yang berbeza jantina dan membina sebuah mahligai bahagia. Namun dalam keadaan tertentu, terlalu sukar untuk mempertahankan kebahagiaan itu. Cara yang terbaik adalah dengan berpisah secara damai. Ketika akad sudah terpatri, kita harus menyedari bahawa akan ada salam perpisahan. Jika kita tidak seiringan. Menghindari dan mencari jalan penyelesaian adalah keutamaan.
Perkara paling utama ialah keyakinan diri. Oleh sebab itu, yakinkan diri sendiri kenapa kalian harus mendirikan rumahtangga. Kalian harus menerima kenyataan bahawa situasi tinggal bersama itu berbeza dengan tinggal sendiri. Semuanya harus dikongsi. Bukan sekadar berkongsi bilik, satu almari tetapi juga berkongsi waktu, perhatian, kewangan dan juga emosi. Pupuklah cinta di antara liang-liang ketidak-selesaan yang timbul.
Masalah selalu ada, bila-bila dan di mana-mana sahaja. Adakalanya permasalahan timbul adalah untuk memperbaiki kualiti hubungan anda. Oleh sebab itu, lebih baik jika selalu sedia membuka perbincangan, toleransi, berlapang dada untuk bertukar-tukar buah fikiran dengan pasangan, agar hubungan cinta terjalin.
Bersedia menimang kehadiran anak. Kehadiran anak amat dinanti untuk menyerikan kehidupan. Tetapi sama ada anda sedar atau tidak, anak dapat mempengaruhi hubungan dan kehidupan rumahtangga selepasnya. Bagaimanapun, kehadiran anak adalah kurniaan Allah Taala. Maka bersikap rasional dalam masalah ini akan lebih baik. Anda tidak harus mengurangi waktu untuk berdua-duaan ketika bersama atau tanpa anak sekalipun.
Bersedialah dar sekarang, pintu gerbang ke arah perkahwinan akan dilewati dan digapai jua. Hanya menunggu masa bila dan di mana kita, dan pasangan akan disatukan. Moga harumannya akan terus mewangi ke seluruh alam.

GERBANG RUMAH TANGGA…
Mendirikan masjid, tidak semudah kata-kata disusun semasa akad. Berkahwin perlu ada asas-asas binaan kukuh sebagai tapak kekal yang menjadi pasak antara dua hati yang bercandu cinta sejati. Kalau hanya bahan binaannya berasaskan cinta semata-semata, mungkin hanya bertahan untuk tempoh masa pendek.
Kalau benar, binaan sebuah bangunan kukuh beratus-ratus tahun bukan hanya bergantung pada simen sahaja, perlu adanya batu-bata, konkrit menyokong, dan besi sebagai urat. Inikan pula perkahwinan, cinta sejati tidak cukup.
Kita semua pasti percaya. Perkahwinan harus dilihat dari kesediaan pasangan menanggung amanah dan tanggungjawab terutama kepada suami. Perkahwinan ini adalah satu perkongsian hidup, saling memahami, saling berkorban dan saling memberi. Jika pernikahan dianggap sebagai jalan penyelesaian yang halal untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu, maka itu sahaja yang akan diperolehi olehnya dalam mengharungi kehidupan berumahtangga. Hanya tempat untuk melayangkan nafsu seks semata-mata.
Perkahwinan adalah sesuatu yang jarang dibincangkan secara mendalam. Bila berbicara mengenai perkahwinan, ramai yang tersipu malu dan tentu mengaitkannya dengan malam pertama. Tidak ramai yang menceritakan realiti sebenar perkahwinan ini. Banyak perkara yang harus disediakan terutamanya dari segi ilmu rumahtangga, perancangan sumber kewangan, sikap (tundukkan ego), tarbiah dan sebagainya.
Perkahwinan ini umpama kerja tanpa cuti rehat, tiada cuti sakit, tiada cuti kecemasan dan bekerja 24 jam sehari, berterusan sehingga ke akhir hayat. Daripada ini kita dapat menyimpulkan betapa beratnya tanggungjawab berkahwin. Kebanyakan pasangan yang ingin berumahtangga sekarang ini, Cuma Nampak daripada sudut untuk menghalalkan hubungan batin sahaja, memuaskan nafsu syahwat yang bergelora. Tinggallah si suami pulang kerja, mencari keseronokan tubuh isterinya tanpa menghiraukan makan minum, lampin dan susu anak. Isteri pula terkapai-kapai menyediakan ini dan itu bagi keperluan keluarga, sesekali menatap sedih dikurniakan nasib berat sebelah.
Penulis agak sedih bila ada suami mengatakan sudah bosan bila bersama isteri. Mungkin ada kesilapan di pihak isteri yang perlu diubah, namun dalam hal ini suami perlualah bijak dan berhikmah menegur si isteri. Memang kadang-kadang kehendak kita bukan sentiasa dapat dipenuhi, sebab itulah kita perlu ada sifat redha dalam diri. Redha dalam diri. Redha dengan ketentuan Allah Taala itulah mahar kita di Akhirat. Dalam masa yang sama kita berusaha bersungguh-sungguh ke arah memperbaiki kekurangan dan kelemahan yang ada.
Membuat proposal hala tuju perkahwinan penting, sama penting kita mengurus sesebuah syarikat. Semua perkahwinan, perancangan masa depan, pendidikan anak-anak dan budget ekonomi keluarga. Kena ada mekanisma dan persediaan yang perlu dilakukan dalam bentuk satu pelan tindakan. Jangan lupa, hubungkan semuanya itu, dengan pendekatan Islam bagi memastikan niat perkahwinan dan wasilahnya terjaga, selaras dengan kehendak Islam. Biiznillah, hala tuju perkahwinan menjadi terancang.
Tanggungjawab juga bukan terbatas pada memenuhi nafkah zahir mahupun batin. Ingat kepada anak-anak, membesar dengan jasmani sihat tidak salah, jangan lupa pada keperluan rohani mereka. Baik buruk perilaku mereka ketika besosial, bertitik tolak daripada sumber makanan rohani kita berikan. Tarbiah dan didikan berpanjangan.
Pada pendapat penulis, generasi hari ini adalah cerminan didikan sesebuah keluarga. Jika bakal ibu dan bapa ingin melihat generasi akan datang hebat dari segi pekertinya, sakhsiahnya dan tinggi dari segi pemikirannya, persediaan harus bermula daripada sekarang. Lengkapkan diri dengan ilmu pengurusan sebuah rumahtangga. Inilah antara asas binaan yang perlu diberi penekanan sebelum sebuah mahligai bahagia dapat didirikan.
Tarbiah anak-anak adalah tanggungjawab bersama, isinya bermula dari penjagaan makanan untuk keperluan jasmani, pendidikan agama untuk keperluan rohani mereka. Persediaan awal kena ada, di awal fasa mencari pasangan lagi. Lelaki mahupun perempuan dilihat berjaya memiliki anak soleh dan solehah kelak, bilamana mereka Berjaya memilih pasangan baik dalamannya, bukan sahaja cantik luaran. Risiko ada di tangan sendiri.
Tidak dianggap sebagai seorang suami mithali hanya kerana Berjaya memenuhi kehendak luaran seorang isteri yang dinikahinya, berupa materialistik, tanpa diberi penekanan kehendak dalaman (ruhiah). Kalau pakaian cukup, makan tidak pernah putus, apakah dianggap sudah bahagia andai isteri keluar malam, berpakaian terbelah sana dan sini, solat tika perlu. Bukankah ianya dianggap gagal selama-lamanya.
Iman disisihkan, nafsu dipuaskan. Kita jarang dapat melihat ‘tangan yang menghunus senjata’ di era serba canggih ini, apatah lagi sekarang ini dapat dihitung ‘tangan yang mengayun buaian bisa menggoncang dunia’. Hari-hari kalau tiada kes sumbang mahram, perkosa, raba dan lain-lain di dada-dada akhbar, memang tidak sah.
Macam mana boleh meramaikan ‘tangan-tangan ajaib tadi’ kalau ‘tangan’ yang menghancurkan lebih ramai. Ikutlah syariat lantas hati jadi taat.
Keperluan menilai dan menampung kekurangan yang ada, adalah soal bersama. Petanda awal pada keretakan sebuah rumahtangga dapat diberi rawatan dengan dengan segera. Isteri tidak pernah mengambil hati dengan perbuatan dan tingkah laku si suami, manakala si suami tidak pernah mengurangi pada kelemahan yang ada pada si isteri.
Apa yang kita lihat menentukan apa yang kita fikir berdasarkan apa yang kita lihat itu juga yang akan menentukan adakah kita mampu beroleh manfaat atau mudharat. Kalau dah awal-awal lagi selalu lihat kelemahan isteri, tidak mustahil hubungan rumahtangga makin hilang seri.
Carilah hikmah tersirat, di sebalik mehnah tersurat.


FEBRIK CINTA MUDA-MUDI….
Kalau kita banyak berjalan, kita tahu bahawa dunia sekarang penuh dengan kekalutan. Ramai akan hidup di atas simpati manusia. Kita akan bertemu ibu bersama anak kecil di kaki lima pasaraya meminta sedekah. Kita akan lihat anak kecil jauh daripada ibunya, lantas lahirlah simpati dan tidak teragak untuk bersedekah. Bagaimana pula mereka yang pernah mengaku tewas di medan percintaan, kerana hanya mahu glamour sementara, tapi tidak pernah menyangka kesengsaraan selama-lamanya.
Mudah tertipu, dan ditipu. Jujurnya, penulis menerima banyak maklum balas daripada rakan pembaca laman blognya dalam pelbagai kategori artikel yang saya tulis, saling ketara cintan-cintun. Dalam mendambakan cinta tulus mulus, kita memang perlu banyak bergantung kepada Ilahi, kerana Allah Taala Maha Mengetahui segala isi hati.
Kita dapat menduga berdasarkan persepsi kita yang dangkal itu. Kadang-kadang betul, tapi malangnya banyak yang salah. Bergembiralah menyambut kehadiran cinta, cinta pada adapt resam, cinta pada budaya, cinta pada kesenian, cinta pada bakat dan kebolehan diri. Tapi kalau cinta yang hadir itu bersama panahan halus syaitan yang bias merubah hati menjadi gelisah serta tumpuan kita pada Allah dan pelajaran kian terhakis, maka binalah cinta baru.
Luasnya skop cinta, kalau kita pernah perasan. Bertuhankan cinta samalah bertuhankan hawa nafsu. Dalam perkara ini iblis memainkan peranannya untuk menyesatkan manusia kecuali orang yang mempunyai keimanan yang kuat bias menepisnya, itupun salah dalam seribu. Dosa-dosa semalam jangan sampai membutakan kita daripada sinar keampunan-Nya yang Maha Luas.
Di dalam bercinta, kita akan menemui jalan berbeza-beza berdasarkan tahap keimanan kita. Begitu penting cinta tidak ditinggalkan iman terkapai-kapai, cinta dan iman amat akrab untuk menjaga redha Ilahi. Jalan kebanyakan manusia jumpa ialah, gagal. Tuntutan nafsu diletakkan di hadapan. Ruang maksiat lebih besar dan luas.
Anak muda sekarang memang kurang berfikir sebelum ber-couple. Kenapa ber-couple sedangkan si lelaki tidak berani hendak masuk meminang. Bukankah ber-couple itu sudah tidak menunjukkan yang hubungan itu sendiri serius, lebih memudharatkan melibatkan diri terjebak dengan zina hati, zina mata dan zina anggota yang lain.
Mendekatkan diri kepada maksiat (na’uzubillah), usah sekali. Banyak hal yang perlu dipertimbangkan sebelum sesuatu hubungan, bukan setakat seronok bercinta sahaja. Bukan mitos lagi sekarang, ada yang terjerat hingga sanggup membelakangi parents. Jalan untuk ke alam perkahwinan mereka mengundang air mata ibu dan bapa mereka kerana untuk selesaikan gelodak nafsu, mereka sanggup ke seberang untuk bernikah, tanpa melihat susahnya bila berada di alam berumahtangga.
Arkitek kelas pertama merupakan arkitek yang memiliki gelaran PhD di dunia, tapi secara hakikatnya adalah seorang arkitek yang mampu mengutip segala ilmu sepanjang hayatnya dan dipratikkan untuk membina segala plan di sunia ini, malah mampu pula di bawa ke Akhirat sana.
Kisah Cinta Cleopatra ada sejarahnya tersendiri, kisah Romeo dan Juliet sudah tersemat sejarah pada lakaran puisi William Shakespear, Cinta damai seorang puteri bernama Diana telah membuka mata dunia, Cinta Adam dan Hawa di lipatan helaian kitab-kitab hikam, sungguh unik dan mempesona.
Sejarah adalah sejarah yang ditinggalkan padanya catatan, fakta, monumen, dan masa dan ketika, hidup kita dipahat dengan sejarah diri sendiri, masa, catatan malah monumen hanya kita sahaja yang simpan. Sejarah baik sudah tentu akan terus menerus dimamah usia hingga muncul hari tua.
Bila seseorang diberi iman yang teguh, diuji iman itu untuk dinilai tahap keberkesanan. Hikmahnya itulah sejarah paling berharga dari segala-galanya, diambil pengajaran daripadanya, mengeluarkan isi tersirat dari tersurat. Cinta bukan segala-galanya, namun segala-galanya memerlukan cinta.


BERTEDUH DI KEBUN CINTA ILAHI
HATI manusia sangat fleksibel, tersentuh, mudah bimbang tatkala takdir tidak sebulu dengan fitrah, tatkala diserang malapetaka di luar dugaan resah bukan kepalang, akal spara waras. Bila keinginan diharapkan menemani, datang pula bebanan menghantui. Kenapa, mengapa, apa berlegar, berputar ligat membunuh daya mampu dan mahu. Mampu, dalam erti kata berpecak silat menentang badai, dan mahu berubah.
Berkali-kali kita diingatkan, manusia tidak sirna dari dugaan, sering diduga dan menduga. Tabi’e alam, memang kita memerlukan antara satu sama lain, tiada siapa bias mendabik dada dia boleh hidup tanpa perlu kepada manusia lain, hatta hartawan sendiri masih memerlukan khidmat orang bawahan. Menggaji, mengurus dan sebagainya. Justeru itu, masalah akan ada di mana-mana tanpa dipinta, Cuma kita disarankan agar berhati-hati, sedia, sabar, dan belajar dari masalah tersebut.
Jodoh, adalah hal berkaitan dengan fitrah, mahu tidak mahu setiap daripada kita pasti dipaksa bergelumang meredah mehnah, suka duka, jerih perih sebelum bahagia dalam rumahtangga direalitikan. Manusia tidak selama-lama akan kebal, pasti ada satu saat dia akan tunduk, jatuh. Oleh kerana itu, Islam mengajar agar kita tidak sombong untuk belajar daripada alam, pengalaman, sirah buat pendinding kalis kecewa, sengsara, dan lara. Kita kan kian tenang dalam damai ketika mencari cinta Ilahi nan abadi.
Kita mesti selalu jadi, agar yang baik juga Allah Taala jodohkan untuk kita. Cinta yang dicari baik, tetapi cintai yang ditemui lebih baik lagi. Keluarga ibarat sebuah negara, suami ilah seorang pemimpin menerajui sebuah kerajaan besar, tidak boleh dipandang enteng. Berjaya atau tidak seorang suami itu dilihat berjaya atau tidak anak buah di bawah jagaannya.
Perkahwinan yang sempurna bkanlah sentiasa sempurna, melainkan ketidak-sempurnaan yang ditangani dengan kemahuan pada agama, syariat aturan daripada al-Quran dan as-Sunnah. Tiada apa yang sempurna dalam dunia ini kerana ini hanyalah dunia. Tidak penting di mana kita akan berakhir.
“Kali ini sudah dua kali peluang saya berikan, tapi abang masih tidak mahu berubah…” rintih seorang isteri bila mana tahu si suami main kayu tiga. Kadangkala kita terlalu mengharap sesuatu yang ideal sehingga kita terlepas pandang dengan segala kebaikan yang ada pada pasangan di depan mata, hingga kita cuba membandingkan dengan insan lain.
Salah kita juga, dulu bercinta bagaikan hilang waras manusia normal, bibir hanya berbicara kebaikan pasangan sahaja, memuji kecantikan pasangan. Bila dah akad, pasti kebaikan juga diharapkan, namun panas tidak selalu sampai ke petang, bila ada step tersilap, maka mulalah persoalkan itu dan ini. Cabaran hidup berkeluarga tidak seindah yang diimpikan, khabar tidak seindah rupa. Tidak boleh menjadi realistik.
Banyak tanggungjawab harus dipikul, banyak keseronokan masa bujang yang terpaksa dikorbankan, karenah anak-anak yang bisa menggugat kesabaran. Bila dah berumahtangga suami isteri bukan sahaja berkongsi satu bilik, satu katil, satu almari, tetapi juga satu rasa dan satu tanggungjawab.
Bebanan kewangan diatasi, dikoreksi bersama. Kalau suami hanya mampu makan mee goreng, isteri juga makan mee goreng, kalau suami mampu membiayai bil eletrik dan air, apa salah si isteri pula melunaskan bil telefon.
Di sini, cinta akan mekar berputik, kekurangan ada di sebelah pasangan dilengkapkan pasangan lain. Usia perkahwinan juga melalui pra-matang, maka dalam tempoh demikian, terlalu banyak agenda perlu dirangkumkan, apa yang patut didahulukan, dan mana patut dikemudiankan.

SEBELUM KAHWIN
Berusaha menjadi terbaik untuk mendapat yang terbaik, bukan menilai orang lain baik tapi diri sendiri tiada usaha menjadi baik. Maka segalanya dilakukan dengan usaha dengan niat yang ikhlas, niat baik akan dipertemukan dengan takdir-Nya yang baik-baik. Kebaikan kita dinilai oleh masa, kalu umur dah berginjak 20-25 tahun, tapi masih bermain PSP, baca majalah mangga, belek komik bersiri, bukankah teramat jauh untuk jadi baik.
Allah Taala telah berfirman; Mafhumnya: “....perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat)”
–an-Nur (24:26)-

Benar kita boleh berlakon, depan orang cerah perut ibu mengandung, tapi sampai bila, tembelang kalian pasti dapat dihidu, bila dah kahwin semua itu sudah tiada lagi, kembali kepada perwatakan sebelumnya.
Kalian berhak memasang cita-cita, memiliki isteri mampu menjaga pakaian dan makan minum, mendamba isteri rajin bertadarrus al-Quran dan bertahjjud malam, isteri rajin dalam kerja-kerja dakwah, mengimpikan isteri melahirkan zuriat yang soelh dan solehah, menginginkan isteri berkongsi suka dan duka, kalian boleh buat demikian, tapi sanggupkah kalian juga menjadi seperti apa seorang isteri harapkan, menemani di kala tahajjud, menyediakan pakaian dan makan minum, menjadi pemimpin baik buat dirinya dan anak-anak yang soleh dan solehah.
Mereka bertadabbur, dan memahami kalam Allah ini, iaitu; Allah Taala berfirman dan mafhumnya; “Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan……”
-an-Nisa’ (4:34)-

Menetapkan niat untuk menjadi lelaki yang baik untuk keluarganya serta hasrat untuk lahirkan generasi baru yang membawa ad-Deen merupakan usaha yang murni.
Sudah tentu usaha sedemikian memerlukan keteguhan dan kecekalan serta usaha yang berterusan sambil memohon pertolongan Ilahi. Niat yang baik akan menatijahkan hasil yang baik. Seorang lelaki lebih menyukai perempuan yang mempunyai sedikit sentuhan maskulin, manakala perempuan yang akan menjadi isteri juga menyukai lelaki yang mempunyai sentuhan feminine.
Ringkasnya, suami akan suka isteri yang boleh berdikari menyelesaikan beberapa tugasan atau kerja-kerja yang selam ini dilakukan oleh suami, manakala si isteri juga menyukai suaminya sekali sakala buuat kerja rumah dan memasak untuk keluarga. Ada kalanya suami memerlukan isteri membantunya dalam menyelesaikan kerja-kerja yang selama ini suami yang lakukan, adakalanya si isteri memerlukan suami untuk ringan tulang dalam hal berkaitan house-chores.
Tiadalah itu satu harapan yang melangit, melainkan rasa ingin merealisasikan sesuatu yang sudah berkurangan dalam kehidupan insan hari ini. Rasulullah S.A.W. dalam kesibukkannya berdakwah dan menjadi penghulu ummat juga mampu memenuhi hak-hak keluarganya, dan membina satu keluarga Islami yang bahagia, maka kita juga berusah untuk menjadi seperti baginda.
Penulis tidak setuju kalian bercinta sebelum kahwin. Cnta tidak salah, tapi masalah besar adalah orang yang bercinta, salah meletakkan harga sebuah cinta. Kalau sudah tidak rasa mampu, maka jauhilah maksiat cinta. Kebanyakan orang bercinta terbawa-bawa dengan khayalan cinta sehingga bersikap terlalu romantic. Bila berbual, banyak control macho sehingga tidak berani bercakap jujur dalam hal-hal tertentu.
Bila bercakap, banyak tipu dari memberitahu perkara yang sebenar. Bila merancang, banyak manis dari yang pahit. Bila berjanji banyak hipokrit dari realistik. Ini lumrah orang bercinta. Kerana itu, elakkan mengenali pasangan terlalu intim sebelum berkahwin. Dibimbangi, kalian terkejut selepas berkahwin. Sanggupkah kalian bercinta?


SELEPAS KAHWIN
Kehidupan adalah realiti yang memotretkan pelbagai palitan warna emosi, suka duka sebagai diari dibaca, dicermati pada hari muka, hal baik-baik sudah pasti diulang dan diperbaiki dari semasa ke semasa. Kehidupan adalah lautan yang dipenuhi gelombang, taufan dan goncangan, membawa pelbagai cuaca, sudah pasti memberi kesan membekas di hati manusia. Hati manusia ibarat sebuah sampan kecil yang dipaksa belayar dalam lautan yang luas.
Mahu atau tidak, manusia perlu benar-benar memahami, belajar dari lautan kehidupan sebaik sahaja mereka membuka mata, dan bersedia memulakan pelayaran. Suri teladan para pelayar sudah ada di hadapan kalian, tinggal lagi kalian memilih cara mereka atau membentuk kaedah pelayaran tersendiri berdasarkan pengalaman mereka. Pelayar terbaik, tidak lain dan bukan adalah Baginda S.A.W. Cinta itu bukan alasan utama untuk dapat bahagia, kerana ramai yang bercerai kerana cinta. Ramai orang bercinta bagai hilang ingatan, tapi bercerai berai juga. Ramai yang kahwin suka sama suka, tapi rumahtangga kecoh. Ini bukan soal cinta atau suka.
Ini soal sejauh mana keberuntungan suami isteri pada Allah Taala dalam setiap urusan. Sejauh mana mereka sepakat dalam mencari berkat dalam rumahtangga. Dengan kehendak Allah sahaja, rumahtangga akan berjaya dan bahagia. Pohonlah kebaikan pada-Nya, serta terus menerus menjadi baik. Andai ombak kuat melanda bahtera, jangan disangka tiada harapan dapat berlabuh dengan selamat. Ingatlah semakin kita diuji, itu tandanya kasih sayang Allah Taala kepada kita dan Dia tidak akan membebankan hamba-Nya melainkan sesuai dengan apa yang daya kekuatan.
Allah Taala berfirman dan mafhumnya; “Allah tidk membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”
-al-Baqarah (2:286)-

Makin banyak kita diuji, makin dekat kita kepada-Nya dan semakin matang dan penuh hikmah kita menyelesaikan sebarang masalah dengan kaedah terbaik, dipersetujui bersama.
Bersabarlah para isteri dengan suami yang kebayankannya akan diam dalam membatu, dan bersabarlah para suami dengan leteran dan bebelan para isteri yang adakalanya untuk menyedarkan anda. Dialah satu-satunya insan yang terbaik untuk kalian, bukan kedua dan bukan ketiga. Berusahalah melengkapi kekurangan antara satu sama lain dengan segala kelebihan dan kebaikan masing-masing. Bukannya untuk meruntuhkan masjid yang dibina dan memisahkan ikatan yang terjalin. Carilah salah sendiri kenapa tidak mencari yang kurang baik tapi bisa diasuh menjadi baik.
Rumahtangga bahagia, bukan bahagia cukup material dan keperluan jasmani bahkan keperluan rohani. Maka bercintalah kalian sepuas-puasnya, kerana kalian adalah halal bagi pasangan. Setiap hembusan cinta kalian, pasti berbuahkan pahala di kebun cinta Ilahi di taman syurga nanti. Bukankah ironinya sangat aneh. Bercinta sebelum kahwin lebih hebat berbanding bercinta selepas akad, jelas sekali kalian hipokrit.
Kenapa perlu mengembalikan cinta? Penulis merasakan setiap manusia itu entitled dan deserved untuk hidup dalam tenang dan bahagia. Hidup tanpa cinta ibarat burung yang terbang dalam sangkar. Selagi ada ruang untuk bercinta, maka sirami dan bajailah cinta itu. Cinta selepas ijab dan qabul, sesungguhnya mampu untuk diluahkan dan masih ada untuk dihadiahkan bersama.
Selepas kahwin anda tetap sebagai nakhoda. Nakhoda kepada para kelasi di bawah tanggungan anda. Baik buruk kesudahan perjalanan mereka berada di tangan kalian. Prinsip dan paradigma yang utuh sahaja akan selamat mengemudi badai dunia.
Sekian.



p/s: semoga artikel di atas dapat dijadikan motivasi, panduan dan pengajaran kita semua. insyaAllah……


Rujukan: Nama pena penulis adalah Rezza Khanafiah. (http://www.puteraazhari.blogspot.com)

2 ulasan: